WhatsApp-Image-2018-07-20-at-23.33.59-1

 

Muzium Telegraf Taiping, mula dibina pada Mei 2015 dan siap pada Mei 2017 bertujuan untuk mempamerkan sejarah dan perkembangan telekomunikasi yang berlaku sejak dari awal kewujudan komunikasi sehingga kini.

Dahulunya muzium ini dikenali sebagai Pejabat Pos dan Telegraf yang pertama di Malaysia. Bangunan ini menyediakan perkhidmatan telegram, telefon, pos dan kemudahan perbankan sehenti untuk orang ramai pada ketika itu iaitu zaman Kolonial British di Tanah Melayu abad ke-18.

Muzium ini terletak di tengah-tengah bandar Taiping dan bersebelahan dengan Pusat Internet Muzium Telegraf. Selain itu ia juga berada di penghujung laluan keretapi terawal di Malaysia yang menghubungkan Taiping dan Kuala Sepetang. Muzium ini bukan sahaja merupakan Muzium Telegraf yang pertama di Malaysia malahan di Asia Tenggara.

Dirasmikan pada 16 Julai 2018, oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perasmian Muzium Telegraf itu merupakan peristiwa bersejarah untuk YTM selepas pembukaan Muzium Telekom yang turut dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara di Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Pejabat Telegraf yang telah berusia 135 tahun ini mewakili identiti nasional dan juga merupakan kemucak kepada sejarah telekomunikasi terawal di negara kita.

Bangunan ini merupakan salah sebuah bangunan kolonial yang terawal di Perak. Ianya dibina oleh Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri Perak di bawah seliaan jurutera St. Caufield. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1883 dan siap pada tahun 1885 melibatkan kos sejumlah 4,070 Straits Dollars.

Muzium ini dibina dengan menampilkan tiga seksyen utama iaitu lanskap, pondok telefon lama dan juga pusat sumber.

Lanskap muzium ini terdiri daripada pokok-pokok seperti pokok Gapis, Tempinis, Merbau, Cengal, Tembusu yang merupakan semua kayu-kayu jenis Gred A dan kayu keras yang digunakan untuk membina tiang-tiang telegraf pada masa dulu oleh kerajaan British.

Pada seksyen pondok telefon pula pihak muzium telah mengabadikan dua pondok telefon yang menggunakan sistem dail dan akan membaikpulih kedua-dua telefon tersebut agar boleh digunakan semula untuk mengembalikan nostalgia dan memberi pengalaman menggunakan telefon itu kepada generasi kini.

Manakala bahagian terakhir pula iaitu pusat sumber, di situ tersimpan buku-buku sejarah berkenaan telegraf dimana menceritakan kaedah dan cara kerja komunikasi pada zaman dahulu sehingga kini. Jadi bagi mana-mana pihak yang berminat untuk membuat rujukan boleh mencari bahan dari pada buku yang disediakan di dalam pusat sumber ini.