Taman Tasik Taiping

Taman yang dibina di atas lombong bijih timah terbiar ini telah dibuka pada tahun 1880, menjadikan ia sebagai taman awam pertama di Tanah Melayu ketika itu, seperti yang tercatat di buku-buku sejarah.

Pokok besar (“angsana”) membarisi tasik ini; dahannya memanjang dari jalan ke air, yang merupakan latar belakang indah bagi pasangan baru berkahwin mengambil gambar.

Seluas 64 hektar, taman ini memiliki sepuluh tasik dan kolam yang indah, Kolam Teratai, jambatan yang mempesonakan, trek untuk berjoging serta refleksologi, semuanya dikelilingi oleh tanaman tropika, bunga-bungaan, pokok dan hidupan liar. Untuk kanak-kanak, terdapat gelanggang bermain kasut roda, bot kayuh, dan taman permainan untuk memastikan bermain di luar lebih menyeronokkan daripada bermain permainan video terkini.

Struktur warisan budaya memenuhi kehijauan taman ini, termasuk Old Residency, dahulunya merupakan kediaman Setiausaha kepada Residen, Rumah Raja dan kediaman pegawai tentera. 

 

Zoo Taiping

Zoo Taiping mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) Keindahan alam semulajadi yang menarik seperti aliran anak sungai, tasik, dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping dalam mempamerkan suasana semulajadi.

Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau lebih dikenali sebagai Zoo Taiping merupakan satu-satunya zoo yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Dengan kawasan zoo seluas 36 ekar ini, Zoo Taiping telah memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka. Ia diperkenalkan dengan mengambilkira habitat asal haiwan tersebut. Pengunjung turut tertarik dengan keindahan alam semulajadi yang dipamerkan dengan pembinaan kandang yang sesuai.

Zoo Taiping merupakan habitat kepada 1200 ekor binatang yang terdiri daripada 140 spesis. Binatang- binatang tersebut terdiri daripada Harimau, Singa, Gajah, Badak Air, Zirafah, Enggang, Orang Utan dan lain lain lagi. Tambahan pula, usaha- usaha pembiakan hidupan liar ini telah terbukti berjaya. Antara hidupan liar yang berjaya dibiakan adalah seperti Harimau Belang, Singa, Siamang, Rusa, Nilgai, Burung Kuak dan banyak lagi.

Sumber : http://www.zootaiping.gov.my/

 

Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bukit Larut, yang dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill, merupakan destinasi tanah tinggi yang popular di Malaysia. Terletak di ketinggian 1,250 m di atas paras laut kira-kira 10 km dari bandar Taiping di Perak; ia adalah kawasan paling basah di negara ini yang mengalami hujan tertinggi. Bukit Larut juga merupakan rumah kepada stesen bukit tertua di Malaysia, yang dibina oleh William Edward Maxwell, Penolong Residen British di Perak, pada tahun 1884 untuk menyediakan tempat percutian yang selesa untuk pegawai penjajah. Pada tahun 1910, resort bukit telah diwartakan sebagai simpanan hutan kekal.