WhatsApp-Image-2018-07-20-at-23.33.59-1

 

Muzium Telegraf Taiping, mula dibina pada Mei 2015 dan siap pada Mei 2017 bertujuan untuk mempamerkan sejarah dan perkembangan telekomunikasi yang berlaku sejak dari awal kewujudan komunikasi sehingga kini.

Dahulunya muzium ini dikenali sebagai Pejabat Pos dan Telegraf yang pertama di Malaysia. Bangunan ini menyediakan perkhidmatan telegram, telefon, pos dan kemudahan perbankan sehenti untuk orang ramai pada ketika itu iaitu zaman Kolonial British di Tanah Melayu abad ke-18.

Muzium ini terletak di tengah-tengah bandar Taiping dan bersebelahan dengan Pusat Internet Muzium Telegraf. Selain itu ia juga berada di penghujung laluan keretapi terawal di Malaysia yang menghubungkan Taiping dan Kuala Sepetang. Muzium ini bukan sahaja merupakan Muzium Telegraf yang pertama di Malaysia malahan di Asia Tenggara.

Dirasmikan pada 16 Julai 2018, oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perasmian Muzium Telegraf itu merupakan peristiwa bersejarah untuk YTM selepas pembukaan Muzium Telekom yang turut dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara di Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Pejabat Telegraf yang telah berusia 135 tahun ini mewakili identiti nasional dan juga merupakan kemucak kepada sejarah telekomunikasi terawal di negara kita.

Bangunan ini merupakan salah sebuah bangunan kolonial yang terawal di Perak. Ianya dibina oleh Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri Perak di bawah seliaan jurutera St. Caufield. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1883 dan siap pada tahun 1885 melibatkan kos sejumlah 4,070 Straits Dollars.

Muzium ini dibina dengan menampilkan tiga seksyen utama iaitu lanskap, pondok telefon lama dan juga pusat sumber.

Lanskap muzium ini terdiri daripada pokok-pokok seperti pokok Gapis, Tempinis, Merbau, Cengal, Tembusu yang merupakan semua kayu-kayu jenis Gred A dan kayu keras yang digunakan untuk membina tiang-tiang telegraf pada masa dulu oleh kerajaan British.

Pada seksyen pondok telefon pula pihak muzium telah mengabadikan dua pondok telefon yang menggunakan sistem dail dan akan membaikpulih kedua-dua telefon tersebut agar boleh digunakan semula untuk mengembalikan nostalgia dan memberi pengalaman menggunakan telefon itu kepada generasi kini.

Manakala bahagian terakhir pula iaitu pusat sumber, di situ tersimpan buku-buku sejarah berkenaan telegraf dimana menceritakan kaedah dan cara kerja komunikasi pada zaman dahulu sehingga kini. Jadi bagi mana-mana pihak yang berminat untuk membuat rujukan boleh mencari bahan dari pada buku yang disediakan di dalam pusat sumber ini.

CEMETRY

 

Tanah Perkuburan Perang Taiping atau lebih dikenali sebagai Taiping War Cemetery merupakan kawasan perkuburan askar yang terkorban semasa perang dunia kedua dan juga semasa darurat. Tanah perkuburan ini terletak di kawasan Bukit Larut, Taiping dan sejauh 2.6km dari PI Muzium Telegraf Taiping. Ia didirikan dan diselenggarakan oleh Komanwel Graves War Komanwel.

Semasa beraku perang dunia kedua, Taiping adalah lokasi pengunduran British semasa pencerobohan Jepun di Tanah Melayu. Pekan ini juga digunakan sebagai pusat rehat dan pemulihan untuk Briged Infantri India ke-6 dan ke-15 semasa pertempuran berterusan di utara Malaya dengan pelbagai unit perubatan ditempatkan di sana sebelum mereka berundur ke Singapura.

Lebih 850 korban telah disemadikan disini termasuk lebih 500 korban yang tidak dapat dikenal-pasti. Askar-askar yang disemadikan disini termasuk askar British, India dan juga askar Melayu. Walaupun begitu, kubur ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kubur Kristian dan juga kubur Muslim. Bagi kubur muslim, ia ditanam seperti ditanah perkuburan Islam biasa dan menghadap kiblat manakala kubur Kistian ditanam dikawasan berlainan yang terdapat tiang salib.



(Sumber : orangperak.com)

Taman Tasik Taiping

Taman yang dibina di atas lombong bijih timah terbiar ini telah dibuka pada tahun 1880, menjadikan ia sebagai taman awam pertama di Tanah Melayu ketika itu, seperti yang tercatat di buku-buku sejarah.

Pokok besar (“angsana”) membarisi tasik ini; dahannya memanjang dari jalan ke air, yang merupakan latar belakang indah bagi pasangan baru berkahwin mengambil gambar.

Seluas 64 hektar, taman ini memiliki sepuluh tasik dan kolam yang indah, Kolam Teratai, jambatan yang mempesonakan, trek untuk berjoging serta refleksologi, semuanya dikelilingi oleh tanaman tropika, bunga-bungaan, pokok dan hidupan liar. Untuk kanak-kanak, terdapat gelanggang bermain kasut roda, bot kayuh, dan taman permainan untuk memastikan bermain di luar lebih menyeronokkan daripada bermain permainan video terkini.

Struktur warisan budaya memenuhi kehijauan taman ini, termasuk Old Residency, dahulunya merupakan kediaman Setiausaha kepada Residen, Rumah Raja dan kediaman pegawai tentera. 

 

Zoo Taiping

Zoo Taiping mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) Keindahan alam semulajadi yang menarik seperti aliran anak sungai, tasik, dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping dalam mempamerkan suasana semulajadi.

Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau lebih dikenali sebagai Zoo Taiping merupakan satu-satunya zoo yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Dengan kawasan zoo seluas 36 ekar ini, Zoo Taiping telah memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka. Ia diperkenalkan dengan mengambilkira habitat asal haiwan tersebut. Pengunjung turut tertarik dengan keindahan alam semulajadi yang dipamerkan dengan pembinaan kandang yang sesuai.

Zoo Taiping merupakan habitat kepada 1200 ekor binatang yang terdiri daripada 140 spesis. Binatang- binatang tersebut terdiri daripada Harimau, Singa, Gajah, Badak Air, Zirafah, Enggang, Orang Utan dan lain lain lagi. Tambahan pula, usaha- usaha pembiakan hidupan liar ini telah terbukti berjaya. Antara hidupan liar yang berjaya dibiakan adalah seperti Harimau Belang, Singa, Siamang, Rusa, Nilgai, Burung Kuak dan banyak lagi.

Sumber : http://www.zootaiping.gov.my/

 

Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bukit Larut, yang dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill, merupakan destinasi tanah tinggi yang popular di Malaysia. Terletak di ketinggian 1,250 m di atas paras laut kira-kira 10 km dari bandar Taiping di Perak; ia adalah kawasan paling basah di negara ini yang mengalami hujan tertinggi. Bukit Larut juga merupakan rumah kepada stesen bukit tertua di Malaysia, yang dibina oleh William Edward Maxwell, Penolong Residen British di Perak, pada tahun 1884 untuk menyediakan tempat percutian yang selesa untuk pegawai penjajah. Pada tahun 1910, resort bukit telah diwartakan sebagai simpanan hutan kekal.

 

Muzium Taiping Perak

Muzium Perak, Taiping dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Muzium ini menempatkan pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu. Bangunan Muzium Perak mempunyai keunikan dari segi seni bina yang mempunyai pengaruh bangunan masyarakat ‘moor’ di India yang digabungkan dengan seni bina ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ masyarakat Eropah. Ia direka bentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris dari England. Pembinaan bangunan muzium ini diusahakan oleh Residen British Ketiga di negeri Perak, Sir Hugh Low dan kurator pertama Muzium Perak ialah Leonard Wray Jr.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan:

  • Tandas Awam
  • Tempat Letak Kereta
  • Kaunter Penerangan
  • Perpustakaan Mini
  • Pondok Telefon

(Sumber : Laman web Majlis Perbandaran Taiping, Jabatan Muzium Malaysia)

Sub-kategori